Pages

Thursday, September 3, 2009

Kenangan saya bersama arwah emak

Jika di tanya siapakah insan yang paling di sayangi, pastinya ramai mengatakan emaklah orangnya. Walaupun saya lebih rapat dengan ayah, tetapi emak sentiasa bertakhta di hati.

Walaupun arwah emak sudah hampir 10 tahun meninggalkan saya, tetapi kenangan bersamanya masih kemas tersimpan diingatan,


Teringat sewaktu saya masih bersekolah menengah, dan tinggal di asrama, hanya sekali-sekala dapat pulang ke kampung. Apabila dapat pulang ke kampung insan pertama yang akan menyambut adalah emak, siap dengan hidangan istimewa, kerana emak tahu saya tidak akan menjamah apa-apa makanan setiap kali hendak pulang ke kampung kerana menyimpan perut untuk menikmati makanan dari air tangan emak.


kebiasaannya selepas subuh akan terdengar irama sudip dan kuali berlaga sesama sendiri, kemudian terbau wangi tumisan bawang dan cili, sudah pasti emak sedang membuat nasi goreng kampung. Menjenguk emak yang sedang menggoreng nasi sambil mendukung adik yang sedang menangis, adalah perkara biasa. Adik selalu menangis, dan jika dia menangis, hanya emak yang boleh memujuknya. Saya pernah mahu menolong emak menggoreng nasi, tetapi faham sajalah, mana mungkin emak membenarkan, sudah terbiasa katanya mahu melihat anak-anak makan makanan yang di masaknya sendiri.


seronok makan nasi goreng emak, mewah dengan udang, sotong ikan bilis dan sayur, lawan pula dengan nescafe o, pasti berasap. rumah kami terletak di kawasan berbukit dan di kelilingi sungai dan bukit-bukit, biasanya kami akan bersarapan di pondok luar rumah sambil menikmati keindahan ciptaan Allah. Emak selalu berpesan, jangan malu mengaku kita orang kampung, jangan malu nak balik kampung dan jangan malu makan makanan kampung. dari kecil saya sebenarnya sudah terbiasa makan makanan yang emak buat sendiri, baik kek, keropok dan segala macam makanan semuanya emak buat sendiri, paling saya tidak boleh lupa ialah kuih bakar cempedak. Sedapnya, sehingga kini masih belum terjumpa kuih seperti itu, kata emak itu adalah kuih ciptaannya sendiri.


Emak insan yang sangat berseni, tikar, hiasan dinding, selipar semuanya emak buat sendiri menggunakan mengkuang. Saya pernah menemani emak mencari mengkuang untuk dianyam dijadikan tikar. Memang seksa, bayangkanlah, kami terpaksa meredah lumpur untuk menebang mengkuang, kadang-kala sampai berdarah kaki terkena duri mengkuang. Emak memang hebat, selamba sahaja, sedikit pun tak merungut, malah emak akan memujuk saya untuk masakkan ikan parang sambal.


Ketika emak sudah meninggal, selera saya seakan tertutup, setiap masakan dan kuih kegemaran langsung saya tak mahu menjamah, itu kenangan saya dan emak, hanya dia pembuka selera saya. sampai ke hari ini, saya tidak menjamah lepat labu, lepat pisang, sira pisang dan bingka. biarlah ia jadi kenangan. .


Rindu sangat pada arwah emak, pejam celik sudah hampir 10 tahun saya tidak memanggil emak lagi, tiap kali balik kekampung, saya sentiasa terbayang-bayang kelibat arwah emak sedang memasak.

Rindu pada arwah emak sentiasa datang meruntun hati saya. Setiap kali solat saya sedekahkan Al-fatihah untuk emak.

Rasanya, walaupun sudah masuk 10 tahun, setiap kali tidur saya pasti teringatkan emak, kerap juga air mata mengalir bila rindukan emak. waktu emak sakit saya pernah berdoa supaya Allah alihkan sakit emak kepada saya, tetapi mungkin Allah lebih tahu perencanaan yang terbaik, maka emak kembali jua kepada penciptanya.


saya sedih ketika majlis konvokesyen, emak tidak ada untuk melihat saya. untuk emak, walaupun emak sudah tiada, setiap kenangan dan suka duka masih sentiasa di sekeliling saya.


No comments: