Pages

Tuesday, September 15, 2009

Malam Lailatul Qadar saya.




Masa saya kecil, pernah bercita-cita nak berjumpa malam lailatur Qadar, punyalah rajin bangun waktu tengah malam semata-mata nak tengok macam mana keadaan lailatul Qadar tu. Nak di jadikan cerita masa tahun 1990, saya memang berusaha bersungguh-sungguh , sampaikan saya mengunci jam supaya boleh terjaga pada malam hari.
Pada malam 27 ramadhan, malam yang kebiasaannya malam Lailatul Qadar, tiba-tiba saya terjaga, lebih kurang pukul 1:30 pagi. Suasana masa tu memang lain sangat-sangat. Angin sepoi-sepoi bahasa je, tapi sejuk je, saya memang agak malam tu adalah malam yang saya tunggu-tunggu.

Untuk meyakinkan, saya buka pintu dan menjengah ke luar rumah, tiba-tiba saya lihat pokok di hadapan rumah saya seolah-olah sedang rukuk. Fuhh, memang confirmlah malam lailatul Qadar. Saya pun terus melangkah masuk dan menutup pintu, tiba-tiba saya di kejutkan dengan bunyi benda jatuh ke tanah, cepat-cepat saya berpaling dan terkejut saya melihat abah dan abang saya berada di atas tanah. Mereka tersengih-sengih menahan sakit. Barulah saya tahu rupanya mereka berdua memakai baju hitam dan berpakat duduk di atas dahan pokok supaya pokok itu kelihatan seperti sedang sujud. Katanya, meraka kasihan melihat saya berjaga malam semata-mata mahu berjumpa malam lailatul Qadar. Pada mulanya memang saya marah, tapi kemudian saya turut tergelak. Hampeh, tertipu jua saya akhirnya.

Barulah saya faham ia adalah malam anugerah Allah, tidak semua orang mendapat kelebihan untuk berjumpa dengannya.
Tidak kiralah orang yang berjumpa dengannya itu jahat atau baik, siapa pun kita, hanya Allah sahaja yang layak menilai diri kita.

Sunday, September 13, 2009

Kasih Bapa


Kasih ibu sehingga ke syurga,
kasih bapa sepanjang jalan.

Dua ungkapan yang mampu membuatkan kita terdiam apabila memikirkan kedua-duanya.

Saya anak manja kepada kedua orang tua saya, tetapi saya lebih rapat dengan abah dan disebabkan itulah saya digelar "anak abah". Kemana sahaja abah pergi saya pasti ada.

Baru-baru ini saya pulang ke kampung melihat abah, sebaik sahaja sampai di halaman rumah saya sudah berteriak memanggil abah dan terus saya berlari memeluk abah, rindu rasanya pada abah, rindu juga pada masakan abah. Terlalu banyak kenangan semasa kecil bersama abah, tidak dinafikan saya mungkin bertuah kerana hidup di kelilingi kasih sayang dari seluruh ahli keluarga.

Semasa sedang bersembang dengan abah, saya terperasan lekuk di dahi kiri abah, saya amati dan pasti itulah kesan yang pernah saya buat di dahi abah sewaktu saya kecil.

Masa tu saya masih kecil, tak silap saya baru 6 tahun, hari sebelumnya abah telah berjanji mahu membawa saya ke pasar malam untuk membeli kuih cakoi.

Tetapi kasihan abah, abah demam panas pada hari yang sepatutnya dia bawa saya ke pasar malam. Saya pula jenis yang degil dan keras kepala, walaupun tahu abah sakit, masa tu saya tetap nak pergi ke pasar malam juga. kemudian saya mengambil gunting yang terdapat di bawah bantal abah, kemudian saya goreskan ke dahi abah, sampai berlekuk. Walaupun abah rasa sakit, tapi dia tetap tersenyum dan hanya mengambil gunting dari tangan saya sambil menggosok kepala saya.
Kalaulah boleh diputarkan waktu, saya pasti tidak akan memaksa dan melukakan dahi abah. Tiap kali saya melihat kesan lekuk itu, setiap kali itu juga hati saya bagai disiat-siat.
2 hari menghabiskan cuti bersama abah terasa sangat singkat, seronok dapat berbuka dan bersahur bersama. Selalunya abah jarang mengejutkan saya untuk menyediakan sahaur, abah yang melakukan semuanya. Pernah saya bersuara kenapa tidak kejutkan saya, tetapi abah cuma mengatakan bahawa selagi saya belum berkahwin dia tetap akan menjaga saya, itulah janjinya pada arwah ibu.

Seperti biasa abah tahu lauk kegemaran saya setiap kali bersahur. Ikan bawal masak kicap, pucuk tahu dan soun tumis air campur telur dan sardin goreng serta nescafe o panas. Menu yang tidak berubah sepanjang 17 tahun saya mengenal ibadah berpuasa. Tidak pernah ada rasa muak walaupun sekali, itulah menu wajib saya setiap kali bersahur.
Selesai bersahur, ketika mahu menunaikan solat subuh, tiba-tiba langkah saya terhenti, mata tertancap pada sampul surat separuh lusuh yang terdapat di dalam kitab tafsir Quran abah. Hati saya bagai di tarik-tarik untuk membuka sampul itu. Sekali lagi saya terduduk, rupanya sampul surat itu mengandungi slip bank yang di gunakan untuk memasukkan duit ke akaun saya setiap bulan dari tahun 1995 hingga 2006 dan juga sebuah diari lama. Jika saya kira, jumlah keseluruhannya adalah RM 44,720.

Tanpa saya sedar rupanya sepanjang saya bersekolah menengah hinggalah ke universiti abah telah banyak berhabis wang untuk memastikan saya menjadi insan cerdik pandai.
Cuma agak terkilan kerana apabila membaca diari lama abah, hari-hari abah hanya makan nasi berlaukkan telur dan ikan masin. Bukan tidak ada duit tetapi abah cuba berjimat sebaik yang mungkin untuk mengumpul wang simpanan supaya jika apa-apa terjadi padanya, kami adik-beradik tidak terabai.
Mulianya hati abah, sepanjang kami adik-beradik belajar, sepanjang itu jugalah abah tidak berganti baju mahal-mahal dan makan sedap-sedap, malah kereta juga hanya di tukar selepas saya berada di tahun akhir di universiti.
Kini saya cuba sedaya upaya mahu menggembirakan hati abah, selagi ada nyawa.


Kisah Saya dan Pokok Durian

Dahulu ketika saya sedang meningkat remaja, ibu saya meninggal dunia, saya tiada tempat untuk bercerita masalah peribadi, takkan saya nak bercerita dengan abah, jadi abah menasihatkan saya supaya bercerita dengan haiwan kesayangan atau tumbuh-tumbuhan. Saya ingat lagi, di belakang rumah saya terdapat sebatang pokok durian yang masih tidak berbuah, di situlah hampir setiap petang saya akan duduk dan bercerita mengenai kesusahan hidup dan pelbagai cerita peribadi saya, kadang-kadang ketika saya menangis kesedihan, secara kebetulan pokok durian itu akan menggugurkan daunnya apabila di tiup angin, dan saya menanggap ia turut bersedih mendengar cerita saya. Semasa saya di tingkatan 5, saya telah mendapat keputusan SPM yang cemerlang, dan saya bercerita dengan pokok kesayangan saya itu, saya pasti ia turut gembira, kemudian apabila saya di tawarkan ke universiti, masa saya semakin kurang dan hanya sebulan sekali sahaja saya dapat menjenguknya. Saya masih ingat lagi semasa saya di tawarkan masuk ke universiti, pokok durian itu telah berbunga dengan banyak, saya menangis kegembiraan kerana menurut abah, selama 17 tahun menanti akhirnya ia berbunga juga. Ianya mungkin kebetulan tetapi saya tetap menganggap ia turut bersorak dan meraikan kejayaan saya. Walaupun mendapat tahu yang ia hanya mengeluarkan bunga tetapi tidak berbuah, namun saya tetap percaya ia akan tetap berbuah suatu hari nanti.
4 tahun selepas saya habis belajar, saya tetap setia dengan pokok durian itu, jika ada masa terluang saya pasti akan duduk sambil bercerita. Kemudian secara tiba-tiba saya di kejutkan dengan berita pokok durian itu telah berbuah, dan apa yang paling menggembirakan saya ia berbuah pada hari konvokesyen saya! sungguh menakjubkan, memang hanya kebetulan, tetapi ia adalah sesuatu yang bersejarah bagi saya. Sehingga ke hari ini, jika setiap tahun saya menerima kenaikan gaji maka setiap tahun jugalah jumlah buah yang di kutip melebihi dari tahun sebelumnya.

Yang pasti pokok durian juga mahluk Allah, mampu mendengar, mampu merintih, mampu menzahirkan kegembiraan dan mampu berinteraksi mengikut cara mereka tersendiri. Dan pastinya saya akan menitiskan air mata andainya ia rebah tidak bernyawa suatu hari nanti.