Kasih ibu sehingga ke syurga,
kasih bapa sepanjang jalan.
kasih bapa sepanjang jalan.
Dua ungkapan yang mampu membuatkan kita terdiam apabila memikirkan kedua-duanya.
Saya anak manja kepada kedua orang tua saya, tetapi saya lebih rapat dengan abah dan disebabkan itulah saya digelar "anak abah". Kemana sahaja abah pergi saya pasti ada.
Baru-baru ini saya pulang ke kampung melihat abah, sebaik sahaja sampai di halaman rumah saya sudah berteriak memanggil abah dan terus saya berlari memeluk abah, rindu rasanya pada abah, rindu juga pada masakan abah. Terlalu banyak kenangan semasa kecil bersama abah, tidak dinafikan saya mungkin bertuah kerana hidup di kelilingi kasih sayang dari seluruh ahli keluarga.
Semasa sedang bersembang dengan abah, saya terperasan lekuk di dahi kiri abah, saya amati dan pasti itulah kesan yang pernah saya buat di dahi abah sewaktu saya kecil.
Masa tu saya masih kecil, tak silap saya baru 6 tahun, hari sebelumnya abah telah berjanji mahu membawa saya ke pasar malam untuk membeli kuih cakoi.
Tetapi kasihan abah, abah demam panas pada hari yang sepatutnya dia bawa saya ke pasar malam. Saya pula jenis yang degil dan keras kepala, walaupun tahu abah sakit, masa tu saya tetap nak pergi ke pasar malam juga. kemudian saya mengambil gunting yang terdapat di bawah bantal abah, kemudian saya goreskan ke dahi abah, sampai berlekuk. Walaupun abah rasa sakit, tapi dia tetap tersenyum dan hanya mengambil gunting dari tangan saya sambil menggosok kepala saya.
Kalaulah boleh diputarkan waktu, saya pasti tidak akan memaksa dan melukakan dahi abah. Tiap kali saya melihat kesan lekuk itu, setiap kali itu juga hati saya bagai disiat-siat.
2 hari menghabiskan cuti bersama abah terasa sangat singkat, seronok dapat berbuka dan bersahur bersama. Selalunya abah jarang mengejutkan saya untuk menyediakan sahaur, abah yang melakukan semuanya. Pernah saya bersuara kenapa tidak kejutkan saya, tetapi abah cuma mengatakan bahawa selagi saya belum berkahwin dia tetap akan menjaga saya, itulah janjinya pada arwah ibu.
Seperti biasa abah tahu lauk kegemaran saya setiap kali bersahur. Ikan bawal masak kicap, pucuk tahu dan soun tumis air campur telur dan sardin goreng serta nescafe o panas. Menu yang tidak berubah sepanjang 17 tahun saya mengenal ibadah berpuasa. Tidak pernah ada rasa muak walaupun sekali, itulah menu wajib saya setiap kali bersahur.
Selesai bersahur, ketika mahu menunaikan solat subuh, tiba-tiba langkah saya terhenti, mata tertancap pada sampul surat separuh lusuh yang terdapat di dalam kitab tafsir Quran abah. Hati saya bagai di tarik-tarik untuk membuka sampul itu. Sekali lagi saya terduduk, rupanya sampul surat itu mengandungi slip bank yang di gunakan untuk memasukkan duit ke akaun saya setiap bulan dari tahun 1995 hingga 2006 dan juga sebuah diari lama. Jika saya kira, jumlah keseluruhannya adalah RM 44,720.
Tanpa saya sedar rupanya sepanjang saya bersekolah menengah hinggalah ke universiti abah telah banyak berhabis wang untuk memastikan saya menjadi insan cerdik pandai.
Cuma agak terkilan kerana apabila membaca diari lama abah, hari-hari abah hanya makan nasi berlaukkan telur dan ikan masin. Bukan tidak ada duit tetapi abah cuba berjimat sebaik yang mungkin untuk mengumpul wang simpanan supaya jika apa-apa terjadi padanya, kami adik-beradik tidak terabai.
Mulianya hati abah, sepanjang kami adik-beradik belajar, sepanjang itu jugalah abah tidak berganti baju mahal-mahal dan makan sedap-sedap, malah kereta juga hanya di tukar selepas saya berada di tahun akhir di universiti.
Kini saya cuba sedaya upaya mahu menggembirakan hati abah, selagi ada nyawa.
No comments:
Post a Comment