Salam dear..
Read the story below...ni i cut from harian metro..i love the ingredient of the story...
I have to explain this, because i have bad experience in sharing info. Last time i post my friend QUOTE and Sajak, tiba-tiba saya telah diserang dengan hebat oleh orang yang tiba-tiba terasa dengan tulisan saya. Takpela, no worries mungkin orang tu tak faham corak penulisan saya lagi kot...hehe kesian dia kan....:)
----------------------------------------------------------------------------------
Novel Bersiri - Istikharah Sang Perindu (Siri 31): Sudah Cukup Baikkah Kita?
Oleh Aminah Mokhtar
UNTUK mengekalkan kesabaran dalam hati agar utuh dan tidak bergoyang aku pegang pesan Ustaz Naufal, sudah cukup baikkah kita untuk memberi yang terbaik agar mendapat semua yang baik-baik dan sentiasa berada dalam kebaikan?
Aku tanyakan diri, kata hatiku; kadang-kadang sahaja. Sebabnya aku ini bukanlah baik sangat; hanya sedang-sedang sahaja. Dan bukanlah pula jahat sangat; hanya berangin sahaja.
Kak Ika bawa aku berjumpa Ustaz Amin. Lapang rasa hati. Sebabnya aku rasa, dia bukan tandingan Ustaz Naufal. Ini bermakna Ustaz Naufal cuma ada satu pesaing sahaja iaitu Hendry. Alhamdulillah. Aku tidaklah rasa tertekan. Bukanlah satu cabaran yang besar untuk aku pujuk Kak Ika terima Ustaz Naufal. Hal Hendry, nantilah aku cari jalan untuk selesaikan.
Pertama, aku mesti dapatkan maklumat lebih banyak, di mana Kak Ika letakkan lelaki bukan Melayu itu di dalam hati�nya. Aku berdoa siang malam, agar anak Eropah yang nampak tinggi budi pekertinya itu hanya melintas dalam fikiran Kak Ika sahaja. Iya, harap-harap hanya lintasan. Harap-harap, kedudukan Ustaz Naufal masih kukuh dan tidak tergugat.
Hari ketiga, pisahkan diri dari kandang lembu dan kambing dan pisahkan diri dari Pak Long, rindu pada ibu sudah mulai datang, pada nenek juga. Aku sibukkan diri berganda-ganda dari semalam, agar hati tidak terusik untuk mahu pulang ke kampung. Mujurlah di asrama di pinggiran kota raya ini jauh dari sungai. Kalau tidak, tentu rinduku pada ibu dan nenek tidak dapat kutahan-tahan.
Sungai, laut dan kolam tasik, menggamit nostalgia yang luar biasa getarannya. Barangkali aku dibesarkan dengan bunyi desiran air. Kolam belakang rumah dan sungai tepi rumah. Kata Ustaz Naufal, sehebat manapun air kolam, air sungai dan air laut mampu berikan kita ketenangan, hanya dua air sahaja yang sangat disukai Allah.
Pertama, air mata yang me�ngalir kerana minta ampunan Allah dan menangis kerana takutkan azab Allah. Kedua, peluh yang mengalir kerana mengimfakkan kudrat ke jalan Allah. Usah pergi jauh-jauh mencari sungai, mencari laut hingga ke hujung dunia, kata Ustaz Naufal lagi, kolam yang paling dekat mampu berikan kita ketenangan yang hakiki. Lebih tenang daripada segala macam ketenangan yang ada
di dalam dunia ini, iaitu kolam mata dan kolam peluh. Kolam-kolam yang semua orang memilikinya. Sayangnya, tidak ramai yang tahu menghargainya.
Alhamdulillah, sejak Kak Ika tempatkan di asrama anak-anak yang perlukan perlindungan ini dan sangat mengharapkan cahaya untuk jadikan penyuluh jalan, air mataku selalu mengalir. Air mata seorang gadis yang kasar, ganas dan keras hati macam aku, akhirnya mengalir juga. Syukur Ya Allah.
Sekurang-kurangnya dapat juga aku lupakan seketika, ladang Fikrah Solehah di tepi sungai.
Aku terima cabaran Kak Ika. Diberinya aku assignment seorang Cahaya yang sudah kehilangan kilauan cahaya dan lari dalam gelap gulita. Berkali Kak Ika meyakinkan aku, cahaya itu sebenarnya, tidak hilang dan tidak juga padam, masih ada baranya, masih boleh dihidupkan semula.
Kak Ika meyakinkan aku lagi, Cahaya yang sudah pun lari itu tetap akan pulang, apabila ia sudah penat berlari. Kalau dia tidak punya kudrat untuk pulang sendiri, Insya-Allah akan ada kudrat orang lain untuk membawa�nya pulang. Akukah orang itu?
Aku cuba dapatkan maklumat tentang Cahaya dari hospital. Tetapi masih susah, sebab aku tidak ada hubungan keluarga dengan dia. Maklumat pesakit, rahsia.
Aku bertambah runsing. Jauh
di sudut hati rasa nak beritahu Kak Ika, tetapi aku tetap kuatkan hati, aku mahu buat semuanya sendiri. Aku mahu buktikan pada diri aku sendiri, dan juga pada Kak Ika yang aku boleh buat tanpa bantuan Kak Ika.
Tapi pada Pak Wi lain pula yang aku rasa. Apa sahaja masalah aku, ringan sahaja mulutku beritahu dia. Aku rasa selamat apabila dapat berkongsi masalah untuk mencari Cahaya. Aku rasa bersalah kalau tak beritahu dia. Kenapa ya?
Agaknya, inilah pertama kali dalam hidup aku rasakan kehadiran seorang ayah. Mak hai, sentimentallah pula!
“Kita nak buat apa ni Pak Wi? Jehan tak mahu dia mati tak sempat bertaubat. Jehan rasa bersalah sangat Pak Wi.”
“Jangan berhenti berdoa, Jehan.” Pak Wi pandang aku dan mengangguk. Dia berhenti memotong pokok bunga raya dan melor di luar pagar.
“Jangan cepat berputus asa dari rahmat Allah. Ini semua ujian untuk Jehan. Janganlah takut untuk jadi berani. Gen Y macam Jehan, takkanlah begitu mudah buang kehebatan diri.”
Pandai betul Pak Wi susun ayat. Ini yang buatkan aku lemah. Benarlah Pak Wi punya aura yang hebat menjadi ayah yang dihormati. Aku benar-benar terasa menjadi anak yang dilindungi.
Aku pungut ranting-ranting yang jatuh dan kumpulkan ke dalam beg plastik besar.
“Hari tu, dia dah sebut solat, Pak Wi. Dia dah sebut dosa, pahala. Jehan yakin, dia memang nak bertaubat. Doakan dia Pak Wi. Doakan Cahaya akan balik ke sini semula. Doakan Cahaya tak tersesat jauh.” Aku bukan main-main, kata-kata itu memang lahir dari hati sanubari aku.
Sepanjang petang aku bantu Pak Wi bersihkan rumah. Dua puluh orang ibu-ibu muda yang mengandung antara tujuh hingga sembilan bulan sedang berehat di atas katil masing-masing. Mereka anak-anak malangkah atau anak-anak yang bakal mereka lahirkan akan lebih malang dari mereka? Seram aku memikirkannya. Yang penting mereka perlu dipimpinkan tangannya untuk mencari jalan keluar.
Sehabis bersihkan laman asrama, sementara menanti panggilan dari hospital aku memerap dalam bilik bacaan yang menempatkan novel-novel dan buku motivati tulisan Cahaya Ilham. Aku pujuk hati menatap buku-buku itu, tetapi fikiran terus melayang ketika diberi kesempatan melawat Cahaya di wad sebelum bersalin. Aku nak panggil dia adik, tapi rasa kekok. Aku pun beraku - kau sahaja. Nampak lebih akrab. Dia nampak boleh terima walaupun dia nampak agresif dan marah-marah ketika aku berdiri di sebelah katilnya. Muka masam mencuka.
“Bawa aku ke hospital ni, kenapa? Aku nak balik.” Dia membentak. Dia duduk di birai katil, mukanya nampak lelah di hujung usia kandungan yang sedang menanti hari.
Aku pujuk dia. “Kau tak sihat. Demam. Tekanan darah kau, agak tinggi. Nurse yang beritahu aku, suruh kau berehat. “
Dia pandang aku rasa nak telan. Masih duduk berjuntai. Nampak sungguh tidak selesa. Berkali-kali aku suruh dia berehat dan baring, dimarahnya aku pula, kerana suruh dia buat itu ini.
“Itu aku punya pasallah. Kau susah hati apa hal? Aku tak minta tolong kau, dah cukup baik. Hei, kau jangan ambil tahu hal aku boleh?” Dia tercungap. Agaknya perutnya yang besar jadikan nafasnya tersekat-sekat.
“Tak boleh. Aku kena ambil tahu hal kau. Sebab kau tanggungjawab aku. Aku kena jaga kau dan jaga anak kau.”
Dia jadi bertambah geram dan bengang dan sakit hati. “Dia anak aku masa aku tengah mengandung sajalah. Bila dah keluar dia dah tak ada kena mengena dengan aku. Sukahati akulah nak buat apapun? Yang kau ni sibuk-sibuk apa hal? Aku bencilah. Pergi balik!” Nasib baik perutnya memboyot dan menghalang dia bertindak lebih agresif. Kalau tidak, mahu dibelasahnya aku.
Aku tarik nafas dan lepaskan perlahan-lahan. Cerpen Sudah Saya Seberangi Lautan Api, terngiang-ngiang ketika aku bacakan pada Kak Ika. Aku pujuk hati dan terus jadi perempuan Melayu terakhir yang lemah lembut dan sopan santun. Syukurklah, darjah kesabaran aku ini masih dalam suhu di bawah paras beku. Kalau tidak, entah siapa yang belasah siapa. Aku pujuk dia lagi.
“Cahaya, anak itu keluar dari rahim kau kan? Nak bersalin sakit kan? Semasa mengandung, kau berkongsi nyawa dengan dia. Dia anak kau. Dia darah daging kau. Mana boleh kau cakap macam tu. Kau tahu tak, dia jadi anak kau bukan setakat dalam dunia ini saja tahu, dia anak kau dunia akhirat. Di dunia boleh kau auta orang, di akhirat nanti berani kau nak berauta dengan Allah? Berani?”
“Eh kubur masing-masinglah. Aku punya pasallah nak buat apa.”
“Memanglah kubur masing-masing, tapi masalahnya, kubur kau sebelah kubur aku, bila kau kena belasah dengan malaikat nanti, bising tau, mengganggu aku. Aku nak berehat pun tak boleh. Sebab itulah aku kena jaga kau dari sekarang.”
Dia terkebil-kebil pandang aku. Baru dia tahu, ayat siapa lebih berbisa. Lebih power! “Mengandung ni, bergadai nyawa Cahaya.”
“Aku tak ada hal. Mengandung berapa kali pun, tak ada masalah. Yang kau kecoh sangat tanya aku macam-macam apa hal?”
“Sebab aku sayangkan kau. Aku nak kau selamat.” Syukurlah suaraku masih belum kasar lagi.
“Banyaklah kau punya sayang. Aku tak perlukan kau. Faham? Yang kau bawa aku ke hospital ni, apa hal? Aku belum nak beranak lagi. Kau ni kecohlah. Susahkan aku saja.”
“Aku kena tolong kau.”
Mendengarnya dia semakin geram. Dan mula marah. “Tolong apa bendanya? Kau memang penyibuk. Menyusahkan hidup aku. Eh, aku tak pernah kacau kau. Kau tak kacau aku, boleh tak?”
“Ini tanggungjawab aku, nak pastikan kau selamat. Itu saja.”
“Selamat apa bendanya? Kau punya pasal, aku dah tak selamat. Hei, aku bencilah tengok muka kau.”
Ditujalnya dahi aku. Dia termengah lagi.
“Nasib baik aku sarat me�ngandung, kalau tak, dah tentu kau dapat belasah aku. Hei, menyusahkan orang.”
Aku tarik nafas lagi. Aku pastikan panas baran masih dalam peti sejuk di bahagian sejuk beku.
“Aku tak nak kau susah nanti. Sebab itulah aku merayu pada kau, tolonglah jangan beri anak kau pada orang tu.”
“Hei, kau apa hal nak halang aku? Salah aku beri anak aku pada dia? Dia nak bayar, aku ambillah duit. Bukannya payah. Beranak sajalah. Dapat duit, siapa tak mahu?” Dia masih agresif. Masih tidak rasa bersalah walau sekukupun.
“Itu anak kau. Kau tak rasa bersalah ke? Lagipun orang yang ambil anak kau tu, agamanya lain.”
“Duit. Kau tahu duit? Aku dah tiga kali beranak. Siapa nak bayar bil hospital? Siapa nak beli susu anak aku? Lagipun nak buat apa susahkan otak, tak payah keluar duit, aku dapat duit. Duit? Kau tak nak duit?”
“Kau tahu tak siapa yang ambil anak-anak kau dulu?”
“Lepas beranak, aku dah tak ada hubungan dengan orang yang ambil anak aku. Dia bawa hal dia, aku bawa hal aku. Kau kecoh apa hal?”
“Hati-hatilah Cahaya. Dunia ini banyak jeratnya. Silap langkah nanti, kau tak ada peluang nak pulang. Tersadai tengah jalan.”
“Aku tahulah jaga diri. Tak payahlah nak nasihatkan aku. Aku bahagia dengan cara aku. Kau peduli apa?”
“Kalau kau tak sayangkan diri kau sendiri, kau ingat ada orang lain yang sayangkan kau?”
“Ramai orang yang sayangkan aku, kalau tak, takkan aku me�ngandung?”
“Kau masih belum faham antara sayang dengan nafsu.”
“Nak hidup, sayang ke nafsu ke, aku layan saja. Yang penting, kocek aku berisi.”
“Kau boleh dapatkan duit dengan cara lain. Banyak cara nak dapat duit.”
“Kerja kilang?”
“Yang penting halal.”
“Budak kilang pun ramai yang rosak. Zaman sekarang godaan kuat. Lagipun nak hidup, nak senang.”
“Hidup ni, tak lama Cahaya.”
“Kau tahu kenapa aku jadi macam ni?”
“Yang dah lepas biarlah. Pandang depan, kau ada masa depan. Jangan padamkan masa depan kau. Lepas bersalin, sambung belajar. Aku boleh tolong kau.
“Kau gila? Aku dah tiga kali beranak, nak belajar apa? Otak aku ni, dah tak boleh terima pelajaran. Kau ni cakap macam orang tak ada otak.”
“Kau muda lagi. Masih ada masa depan.”
“Eh, kau tahu tak? Aku ni dah rosak. Masa depan apa benda�nya? Aku dah rosak tahu tak? Aku dah rosak?”
“Alhamdulillah, kau tahu siapa diri kau. Bila kau kenal siapa diri kau, kau akan kenal siapa yang ciptakan kau.”
“Kau cakap apa ni? Dah pergi, pergi, Jangan serabutkan kepala otak aku.”
“Kau kena jejakkan kaki kau ke bumi, nanti kau akan nampak emak kau, akan nampak ayah kau, akan nampak adik beradik.
“Kau boleh tolong aku tak?”
“Boleh.”
“Tolong diam. Aku runsing dengar kau meracau tak berhenti. Runsing tau. Runsing!” Dia benar-benar marah. Muka dan telinganya jadi merah. Nafasnya keruh. Dia nampak begitu payah menarik nafas. Aku pandang dia terus. Dia jadi semakin marah. “Apa tengok-tengok?”
“Aku nak cakap sikit saja lagi.”
Dia pandang aku macam nak telan.
“Bukannya kau tak boleh buat maksiat Cahaya. Boleh. Buatlah.”
Terbeliak biji matanya pandang aku.
“Siapa kata tak boleh? Boleh.”
Mukanya berlibang-libau. Aku nampak matanya berkata, eh kau biar betul!
“Kau dengar sini baik-baik. Apabila kau nak derhaka kepada Allah dan buat maksiat ingat lima perkara ini dulu. Kalau kau boleh buat, silalah buat. Ini bukan aku kata tau, ini kata Ibrahim Adham, seorang wali Allah kepada seorang lelaki. Syarat pertama, kau boleh derhaka kepada Allah dan boleh buat maksiat tapi jangan kau makan rezeki Allah di muka bumi ini. Kau makanlah rezeki lain. Boleh?”
Dia tak berkata sepatah pun.
“Kedua, kau boleh buat maksiat tapi kau tak boleh tinggal di atas muka bumi Allah. Kau carilah planet lain, duduk kat bulan ke, kat matahari ke. Boleh?”
Dia masih tidak bersuara.
“Ketiga, kau boleh buat maksiat dan derhaka kepada Allah, tapi kau kena cari satu tempat yang bila kau buat maksiat yang Allah tak nampak. Boleh?”
Dia menarik nafas payah.
“Keempat, kau boleh buat maksiat, tapi bila malaikat maut datang nak cabut nyawa kau nanti, kau minta tangguh, kau kata, nanti dulu, kau nak bertaubat nasuha dulu. Boleh?”
Dia pandang aku satu macam. Matanya nampak macam rasa bersalah.
“Kelima, kau boleh buat maksiat, tapi bila malaikat Zabaniah nak campakkan kau ke dalam neraka nanti, kau cakap kat dia, kau tak nak. Boleh? Hah, kalau kau kata kau boleh buat semuanya itu, silalah buat maksiat. Silalah!”
Aku nampak mukanya berubah serta-merta dan jadi huru-hara. Lama dipandangnya aku.
“Alhamdulillah. Anak-anak Pak Wi di sini semuanya sihat. Mereka benar-benar dah insaf. Mudah-mudahan taubat mereka diterima Allah.” Aku terkejut. Pak Wi terjengul di muka pintu.
Tiba-tiba fon berdering, ada panggilan dari hospital. Aku rasa nak terus terbang. Pak Wi tanya kenapa.
“Dia selamat dibawa semula ke hospital Pak Wi.”
Kami bergegas ke hospital setelah beritahu Ustaz Amin dan Kak Ika dan serahkan tugas kepada dua orang lagi pembantu asrama.
“Keluar wad nanti, terus bawa ke mari.”
“Dia akan melahirkan anak bila-bila saja.”
“Nanti Pak Wi uruskan bayi dia.”
“Inilah masalahnya, Pak Wi.”
“Sejak bila pula budak-budak yang kita bawa ke sini tak ada masalah?”
“Dia dah ambil duit pendahuluan, Pak Wi.”
“Duit pendahuluan?”
“Dia dah jual anak dia.”
“Bukan jual anak, Jehan, dia nak serahkan anak dia pada keluarga angkat. Alhamdulillah. Dia tak buang anak.”
“Masalahnya akidah budak tu.”
“Dia beri pada siapa?”
“Orang bukan Islam.”
“Nanti Pak Wi dan Ustaz Amin akan uruskan. Jehan jangan risau. Jaga saja budak tu baik-baik. Jangan berkeras sangat dengan dia.”
“Pak Wi, dua lagi anak dia, dia dah jual. Kita kena selamatkan akidah budak-budak tu, Pak Wi.”
“Kita cari keluarga angkat budak-budak tu.”
“Masalahnya dia tak tahu.”
“Tak tahu?”
“Dia cuma nak duit saja Pak Wi.”
“Dapatkan maklumat dari hospital.”
“Jehan dah cuba, tapi dia pandai, dia bersalin bukan di hospital yang sama.”
“Tak ada maklumat langsung?”
“Bayi tu diserahkan di luar kawasan hospital.”
“Berapa umur budak-budak tu?”
“Dua dan satu tahun.”
“Jehan kena pujuk dia baik-baik.”
“Jehan tak akan putus asa Pak Wi.”
“Jehan tahu kan? Jiwa dia tak aman. Pujuk dia baik-baik. Jangan berkeras. Anggap dia kawan. Jangan ungkit-ungkit perkara yang dah lepas. Ba�nyakkan mendengar. Jangan banyak sangat tunjuk ajar dia. Dengar dulu apa saja yang dia nak cakap.”
“Insya-Allah. Insya-Allah. Doakan Jehan kuat, Pak Wi.”
Jalan sesak. Perjalanan ke hospital sepatutnya mengambil masa setengah jam, ini dah satu jam, masih tak sampai-sampai. Fon tanganku berbunyi lagi. Jururawat di wad bersalin, suruh aku datang segera, Uri Cahaya melekat dia perlukan pembedahan kecemasan.
Empat jam menunggu akhirnya Cahaya diusung keluar dari dewan bedah. Ditempatkan dalam wad ICU, untuk pemantuan rapi setelah kehilangan tiga liter darah, mujurlah dia boleh membuka mata. Air matanya meleleh. Aku pegang bahu dia. “Alhamdulillah, kau selamat.”
Dia nampak kecewa dan sebak. Suaranya tertahan-tahan. “Tapi anak aku mati. Orang tu mesti cari aku nak balik duit pendahuluan. Aku dah habiskan duit tu. Matilah aku kena bunuh dia.”
“Jangan bimbang. Kau serahkan pada aku dan Pak Wi. Ustaz Amin dan ramai lagi orang yang boleh tolong kau.”
“Aku dah tak boleh buat bisnes lagi.”
“Bisnes?”
Suaranya masih lemah. Dia nampak sungguh kecewa. “Rahim aku dah kena buang. Aku tak boleh mengandung lagi.”
“Allah sayangkan kau. Sebab itulah Dia ambil anak kau. Dia ambil rahim kau.”
“Dia tak beri aku buat maksiat lagi?”
Aku pegang tangannya. “Allah sayangkan kau Cahaya.”
Dia pandang aku lemah. Dia pegang tangan aku. “Jehan, betulkah Tuhan akan ampunkan aku?”
Tidak percaya apa yang aku dengar. Aku mengangguk laju. Hati terasa sebak. Terasa usahaku selama ini, berbaloi sungguh. “Walau sebanyak buih di lautan pun dosa kita.”
“Aku orang berdosa.”
“Pernahkah ada manusia yang tak berdosa?” Air mataku bergennag. “Kita bukan malaikat yang tak bernafsu. Tapi... kita juga bukannya haiwan yang tak berakal.”
“Jehan....” Suara Cahaya semakin sebak. Dia menangis tertahan-tahan.
“Tapi dosa aku banyak. Bertimbun-timbun. Dan kau..... “ Dia masih pegang tangan aku. Matanya sayu pandang aku. “Aku....aku....”
“Kenapa Cahaya?” Aku pandang dia cemas.
bersambung yek.....hehehe....bestkan cerita ni....ambil ikhtibar dari cerita ni..:)
No comments:
Post a Comment